Litar lumba di Terengganu
KUALA TERENGGANU 19 Julai – Kerajaan negeri bercadang untuk membina sebuah litar di negeri ini bagi memastikan kegiatan permotoran dapat dijalankan secara sihat di tempat yang lebih sesuai dan selamat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat berkata, kerajaan negeri menyedari pada masa ini banyak kegiatan lumba haram oleh golongan muda di jalan raya yang turut mengancam keselamatan pengguna lain.
Bagaimanapun, katanya, ia masih lagi di peringkat kajian dengan meneliti pelbagai aspek sebelum diputuskan pembinaannya kelak.
Menurut beliau, kira-kira 90 peratus golongan belia termasuk pelajar di negeri ini menunggang motosikal sebagai kenderaan utama.
‘‘Namun begitu tidak kurang juga mereka yang menggunakan motosikal untuk menjalankan kegiatan yang salah dengan menggunakan jalan raya sebagai tempat perlumbaan.
‘‘Sikap buruk ini perlu dialirkan ke corak kegiatan lebih sihat dari sudut sukan dan rekreasi,’’ katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan sumbangan oleh UMW Pennzoil Distributors Sdn. Bhd. sempena Kembara Belia Terengganu (KBT) 2010 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu.
Di majlis itu, UMW Pennzoil Distributors Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengurus Pemasarannya Shamsul Nahar Md. Karim menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan bernilai RM100,000 kepada Timbalan Pengarah Penyelidikan Jaringan dan Industri UiTM yang juga Pengerusi Program KBT 2010, Prof. Madya Dr. Azemi Che Hamid.
Rozi berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk menghimpunkan kira-kira 40,000 remaja bermotosikal melalui Kelab Motosikal Terengganu pada Oktober depan.
Bagi tujuan itu, katanya, semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah menubuhkan kelab motosikal masing-masing kerana aktiviti sukan permotoran dilihat merupakan minat utama golongan belia pada hari ini.
Menurut beliau, adalah diharapkan dengan wujudnya kelab-kelab motosikal itu, golongan belia lebih mudah dididik bagi mengelakkan mereka melakukan kegiatan yang boleh membahayakan diri sendiri dan juga orang lain.
Sementara itu, Dr. Azemi berkata, sebanyak 100 motosikal yang mewakili penuntut UiTM dan belia akan menyertai KBT 2010 yang akan diadakan selama lima hari bermula di UiTM pada 21 Julai ini.
Katanya, KBT 2010 yang turut disertai oleh motosikal berkuasa tinggi, kereta mewah dan kereta rali itu akan menjelajah di seluruh negeri termasuk Marang, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Setiu dan Kemaman.
‘‘Program yang julung kali diadakan itu selain mendedahkan kepada mahasiswa dan belia kepada aktiviti kemasyarakatan ia turut untuk mempromosi UiTM sendiri di tempat persinggahan kembara,,’’ katanya.
Beliau berkata, pelepasan KBT 2010 akan dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Za’abar Mohd. Adib dan kemuncaknya ialah destinasi terakhir kembara di Padang Astaka Kemaman yang dijangka disambut oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pada 25 Julai.
"We were there"