Isnin, Disember 22, 2008

Kursus Ulangkaji Jurulatih BSMM 2008

Pada 19 - 21 Disember 2008 IPK telah mengadakan Kursus Ulangkaji Jurulatih BSMM 2008. Ianya adalah untuk pemegang-pemegang Sijil Jurulatih dan Jurulatih Kanan yang berdaftar dengan BSMM.  Kursus telah diadakan di Kompleks Rakan Muda, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.












Kursus kali ini disertai oleh peserta-peserta dari Cawangan Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan.  Perasmian Kursus telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia, Mejar Jeneral (bersara) Dato' Haji Megat Mohd Yusof bin Dato' Haji Megat Mahmud, Setiausaha Agung BSMM.












Di antara kandungan kursus adalah:
Peranan Ahli Pertolongan Cemas
Keselamatan dan Pencegahan
Penilaian Pesakit
Prinsip Triage
Sistem Tubuh
Peredaran Darah dan Pernafasan
Kecederaaan dan Pengendaliannya
Luka dan Pendarahan
Racun dan keracunan
Patah/Terkehel/Terseliuh
Terbakar dan Melecur
Renjatan 
Asfiksa
Pemulihan Pernafasan CPR dan yang bersangkutan dengan nya
Micro teaching

Jurulatih IPK:
Encik Mohd Azlan bin Mohamad
Encik Paramjit Singh












Majlis Perasmian penutupan Kursus telah disempurnakan oleh Dr. Jagjit Singh, Pengerusi Jawatankuasa latihan kebangsaan. 

"Sentiasa Bersedia"

Rabu, Disember 17, 2008

Ekspo Kualiti UiTM Terengganu 2008 (Day 2)

Hari ini (17 Disember 2008) adalah hari kedua ekspo Kualiti UiTM Terengganu 2008. Ekspo dibuka untuk orang ramai pada jam 9.00 pagi dan ia berakhir jam 1.00 tengahari.   












Dihari yang kedua pengunjung masih ramai dan hari ini telah diadakah penyampaian hadiah bagi pop Kuiz, Hadiah Misteri dan hadiah-hadiah lain.  

Digerai BSM, petugas sentiasa bersedia melayan pengunjung.  Ramai yang bertanyakan berkenaan CPR terutamanya yang berkaitan bayi atau kanak-kanak kecil.  Setiap pertanyaan telah diberi penjelasan yang jelas oleh petugas termasuk menunjukkan cara melakukan CPR.  

Selain itu, ada pengunjung yang belum melihat dapur Clinton dan ini juga dijelaskan oleh petugas.  Walaupun penat, petugas BSM kelihatan ceria dan sentiasa bersedia melayan pengunjung yang berbagai peringkat umur dan jawatan.

Ekspo tamat dengan rasminya pada jam 1 tengahari.  Terima kasih kepada semua petugas yang telah meluangkan masa untuk menceriakan booth BSM.


"Lawatilah Gerai Kami"

Selasa, Disember 16, 2008

Ekspo Kualiti UiTM Terengganu 2008

Hari ini 16 Disember 2008, bermulalah ekspo Kualiti UiTM Terengganu 2008.  Ia diadakan di Dewan Aspirasi dengan penglibatan belbagai Bahagian/unit, Fakulti dan Persatuan.  BSM Chapter UiTM Terengganu telah dipilih untuk mengambil bahagian dalam ekspo ini.  Ia adalah ekspo yang pertama yang melibatkan Chapter dan petugas BSM telah melengkapkan booth yang disediakan dengan peralatan-peralatan dan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan pencapaian Chapter.













Booth BSM telah dihias dan diurus oleh 5 orang ahli PBS (pelajar) yang sanggup mengorbankan cuti mereka demi membantu persatuan dalam Ekspo Kualiti kali ini.
Mereka yang terlibat adalah:

1.   Firdaus bin Mat Yusof (Semester 2)
2.   Muhammad Yusof firdaus Alhad (Semester 1)
3.   Ahmad Nur Fadhil Annuar (Semester 1)
4.   Ahmad Naqiuddin Ismail (Semester 1)
5.   Mohammad Amiruddin Anang (Semester 1)

Ekspo bermula jam 9.00 pagi, sementara majlis perasmian diadakan pada pukul 10.00 pagi. Perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah HEP, Prof, Madya Haji Rahim bin Ramli yang juga merupakan Timbalan Pengerusi BSM Chapter UiTM Terengganu. Ekspo berakhir pada pukul 5 petang.

Chapter amat berterima kasih kepada BSM Cawangan Terengganu yang telah membantu menyumbangkan bahan-bahan pameran untuk ekspo ini. Terima kasih juga pada semua yang membantu.

"Tunjukkan yang Terbaik"

Khamis, Disember 04, 2008

Persediaan Banjir

Satu pertemuan tidak rasmi telah berlangsung pada hari ini, 4 Disember 2008 (4.30 petang) di antara wakil IPK Encik Jasni dan wakil-wakil Chapter UiTM Terengganu yang terdiri dari Encik Mohamed Ishak Badarudin, Puan Zariah Abu Bakar (Naib Pengerusi II) dan Encik Othman Abdullah (OC PBS) di bilik Mesyuarat HEP berkenaan dengan persediaan Banjir di Daerah Dungun dan Kemaman.












Di antara perkara yang dibincangkan adalah:
1.   Pentingnya persediaan awal dilakukan (memeriksa peralatan, pembahagian tugas, logistik dsb) untuk menjaga nama baik persatuan dimata masyarakat.
2.   Pihak IPK akan sedia membantu apabila ada kekurangan dari segi umpamanya, peralatan dan kepakaran (terutamanya peralatan memasak).
3.   Pihak IPK telah memaklumkan bahawa PBSM telah dimasukkan sebagai agensi yang terlibat dalam operasi penyampaian bantuan ketika banjir.
4.   Hubungi IPK sebaik sahaja keadaan cuaca akan mengundang banjir sebelum ianya terjadi.
5.   BSM Chapter UiTM diberi tanggungjawab untuk menyalurkan bantuan kepada dua daerah, iaitu Dungun dan Kemaman.
6.   Memaklumkan bahawa Cawangan Terengganu akan membekalkan dua buah bot jika keadaan memerlukan.

Pihak BSM Chapter UiTM Terengganu amat berterima kasih di atas kesediaan pihak IPK memberikan bantuan.  Kami di Chapter UiTM akan cuba sedaya upaya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dan menjadikan PBSM sebagai pasukan sukarela yang amat rapat dengan masyarakat.

"Kami Bersedia"

Program Gotong Royong

Pejabat Daerah Dungun telah menganjurkan satu program "Program Kesedaran Penjagaan Alam Sekitar Peringkat Daerah Dungun Tahun 2008" pada 4 Disember 2008.  












Program yang bermula dari jam 8.30 pagi hingga 12 tengahari ini telah disertai oleh beberapa agensi dan jabatan kerajaan.   Di antaranya ialah Majlis Daerah Dungun, JKR, JKKK Sura Tanjung, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan tidak ketinggalan UiTM Kampus Dungun. 

UiTM telah disertai oleh anggota PBS BSM Chapter UiTM Terengganu diketuai oleh OC PBS Encik Othman Abdullah, anggota squad penyelamat, staf-staf dari belbagai Jabatan serta pensyarah.  

Peserta telah berkumpul di kawasan surau Tanjung (berhampiran Tadika KEMAS) seawal 8.00 pagi dan tepat jam 8.30 pagi (setelah bersarapan pagi), operasi pembersihan bermula.  Peserta telah dibekalkan dengan peralatan, sehelai kemeja T dan sarung tangan oleh pihak Majlis Daerah untuk memudahkan kerja.  Hadir bersama pada pagi ini ialah Penolong Pegawai Daerah Dungun, Encik Marzuki bin Endut dan Tuan Pengarah UiTM Terengganu, YM Prof. Madya Tengku Yusof Tengku Mahmud.

Bagi pihak PBSM, ini adalah satu aktiviti yang sudah tentu penting, bukan sekadar mencantikkan kawasan tepian sungai malah ia adalah persiapan sewaktu musim tengkujuh dan sebagai persediaan kepada bencana banjir.  Dungun pernah dilanda banjir dan pembersihan kawasan sungai adalah perlu bagi memantau aliran air kerana kejadian banjir di Kuala Terengganu baru-baru ini adalah disebabkan aliran air terhalang dan tersumbat.

PBSM mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang terlibat dengan program ini.

"Cintailah Sungai Kita"

Rabu, November 26, 2008

Kursus Pertolongan Cemas Asas

Pasukan Penyelamat dengan kerjasama BSM Chapter UiTM Terengganu telah mengadakan Kursus sehari "Kursus Pertolongan Cemas Asas" pada 25 Nov 2008.  

Kursus telah dirasmikan oleh YM Prof. Madya Tengku Yusof Tengku Mahmud, Pengarah Kampus merangkap Pengerusi BSM Chapter UiTM Terengganu. Dalam ucapan beliau menekankan pentingnya mempunyai pengetahuan pertolongan cemas sejajar dengan hasrat BSM untuk mewujudkan "First Aider in every home".

Pengisian kursus telah disampaikan oleh Dr. Yusri Salleh iaitu pegawai perubatan Kampus UiTM Terengganu merangkap Penolong Pengarah Latihan, BSM Cawangan Terengganu serta dibantu oleh Tuan Haji Mohamad bin Jusoh, MA Pusat Kesihatan Kampus Dungun.  Di sebelah petang, peserta dilatih mengendalikan CPR secara praktikal.   Walaupun kelihatan kekok, namun semua peserta diberi peluang untuk mencuba.

Peserta terdiri dari anggota penyelamat UiTM, ahli BSM Chapter UiTM Terengganu, Pasukan Rapid Response Squad (RDS) dan peserta-peserta lain yang mewakili jabatan masing-masing.

Pengisian:
1. Bantuan Kecemasan Am dan Fisiolgi Am
2. Kepatahan
3. Luka
4. Kecederaan sukan
5. Terbakar
6. Melecur
7. Keracunan
8. Pengsan
9.  Kaedah CPR serta praktikal
10 Pengenalan kepada kotak 'First-Aid' dan praktikal

Kursus tamat pada 4.30 petang.

"Mungkin satu hari kita amat diperlukan"

Taklimat Persediaan Banjir

Pada 22 Nov 2008 satu perjumpaan jawatankuasa PBS Chapter UiTM Terengganu dan Jawatankuasa PBS Cawangan Terengganu telah berlangsung di bilik mesyuarat Bahagian Pengurusan Fasiliti.











Taklimat ini dipengerusikan oleh Tuan Haji Musa bin Muda, Pengarah BSM Cawangan Terengganu.

Jawatankuasa dimaklumkan berkenaan persediaan menjelang musim tengkujuh yang telah bermula. JK disaran untuk membuat persediaan dan memantau pusat/bilik gerakan banjir dan pusat penempatan jika berlaku banjir. Setiap pemantauan hendaklah disediakan laporan dan laporan tersebut hendaklah dipanjangkan ke Cawangan dan seterusnya ke IPK.

Di Majlis yang sama, cawangan telah menyerahkan set lengkap memasak dan berharap ianya dapat digunapakai ketika bencana nanti.

Antara yang hadir adalah:
1. Tuan Haji Musa bin Muda Pengarah BSM Negeri
2. Encik Mohamad Mohd Zain Setiausaha Kehormat PBS Negeri
3. Encik Mohamed Ishak Badarudin Penolong Pengarah PBS Negeri
4. Encik Abdul Halim Mohd Zain Bendahari BSM Negeri
5. Encik Mohd Tajul Hasnan Mohd Tajuddin Setiusaha Kehormat Chapter
6. Encik Zamri bin Abdullah Kuatermaster PBS Negeri
7. Encik Othman bin Abdullah OC PBS Chapter
8. Cik Dalilah Che Ab. Manan Penolong OC PBS Chapter
9. Encik Mokhtar Awang Ajk
10. Encik Sathir Ahamed Habib RDS
11. Encik Suhaimi Mamat Ajk
12. Encik Khairul Afizan Mohamed Nor Ajk
13. Encik Ameer Hafzan Mat Nor Ajk
14. Encik Zulkifli Salleh Ajk


"Sediakan payung sebelum hujan"

Isnin, Oktober 20, 2008

Jom Derma Darah












Pada 20 Oktober 2008, pelajar BPC part 1 telah menganjurkan Kempen Jom Derma Darah. Ia adalah kempen derma darah ke tiga semester ini. Kempen bermula jam 9 pagi dan berakhir 2 petang. Jumlah pungutan adalah 58 pints sahaja. Ini adalah kerana beberapa faktor umpamanya:

1. Ramai pelajar yang menduduki ujian, kuiz dan yang 'class presentation'.
2. Ada sebilangan pelajar yang telah menderma pada Kempen yang terdahulu dan belum
cukup edah 3 bulan untuk menderma semula.
3. Ada yang tidak cukup tidur
4. Ada yang mengalami masalah darah
5. Merit tidak lagi dapat dikeluarkan.

Walaubagaimanapun, Pelajar BPC ini akan menganjurkan kempen ini lagi pada awal semester depan dan berharap pungutan akan dadang melebihi dari target yang diharapkan. Saya pasti jika pelajar ini bersatu hati dan bekerja dalam pasukan yang mantap, tidak mustahil matlamat mereka akan tercapai.

"Derma Darah tidak Member Mudharat"

Operasi Kotor Sifar Mesjid Sura Dungun

Pada 17 Oktober 2008, seramai 45 orang ahli BSM Chapter UiTM Terengganu yang terdiri daripada pelajar part 3 BPS telah bersama-sama dengan ahli jawatankuasa Mesjid Kampung Sura, mengadakan gotong royong membersih sekitar kawasan Mesjid dan juga mesjid berkenaan.












Ketua Projek bagi Projek Gotong Royong ini ialah Nurul Azita binti Zainudin dan gotong royong telah diselia oleh Encik Mohd Ishak Hj Badarudin.

Keseluruhannya, projek ini mencapai objektif iaitu, mendidik ahli PBS untuk bergaul dengan masyarakat dan memupuk sifat saling tolong- menolong sesama ahli dan masyarakat. Ahli Jawatankuasa Mesjid Sura juga merasa amat gembira dan berterima kasih di atas segala usaha yang disumbangkan oleh pelajar ini.

"pupuk semangat kejiranan"

Ahad, Oktober 19, 2008

Restoring Family Links (RFL) Training 2008

Pada 18 Oktober 2008, ICRC Malaysia dengan kerjasama BSMM Cawangan Terengganu telah menganjurkan Kursus Pemulihan Pertalian Kekeluargaan Zon Pantai Timur 2008 atau dalam bahasa Inggeris "Restoring Family Link 2008".











Kursus sehari ini telah diadakan di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu. Kursus yang disertai oleh 27 orang peserta dari BSM Cawangan Pahang, Terengganu dan Kelantan ini telah dirasmikan oleh Pengerusi BSMM Cawangan Terengganu, Yang Berbahagia, Dato' Rakna Bijaya, Dato' Haji Aziz Badli bin Hj. Awang Chik.

Kursus dibahagikan kepada 6 sesi dan setiap sesi ceramah disampaikan oleh wakil ICRC Kuala Lumpur, Puan Muna Djuly dan Puan Lim Mei Chin dari BSM IPK Kuala Lumpur . Sesi ceramah diselangselikan dengan tayangan video berkaitan dengan kegiatan dan pengurusan ICRC dan RFL.

BSMM Chapter UiTM telah menghantar 5 orang peserta iaitu:
1. Encik Mohamed Ishak Hj Badarudin (PP PBS)
2. Dr. Yusri Salleh (PP Latihan)
3. Puan Salamiah Mustaffa. (Penguasa Jururawat)
4. Cik Sairah Saien (Pen. Setiausaha 1)
5. Cik Jazira Anuar (Pen. Setiausaha 2)

Walaupun sesi sehari ini agak padat tetapi keseluruhannya ia amat menarik dan maklumat yang disampaikan adalah jelas.

"Jangan ada yang terpisah"

Rabu, Oktober 15, 2008

Ceramah Pendidikan Pencegahan HIV dan Aids

Hari ini (15 Oktober 2008) bertempat di Dewan Cemara, telah berlangsung Ceramah Pendidikan Pencegahan HIV dan Aids yang dianjurkan oleh BSMM UiTM Terengganu. Ceramah telah disampaikan oleh Dr. Yusri bin Salleh, Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan UiTM Kampus Dungun, merangkap Penolong Pengarah (Bahagian Latihan) BSMM Cawangan Terengganu.

Lebih 20 orang staf telah menghadiri Ceramah ini dan selainnya dipenuhi dengan para pelajar dan ahli BSMM Chapter UiTM Terengganu. Majlis telah berjalan dengan lancar dan pengisian yang disampaikan oleh Dr. Yusri amat berkesan sekali memandangkan ianya disampaikan oleh seorang yang berpengalaman dan staf UiTM sendiri.

Dari sesi soal jawab, dapat disimpulkan bahawa pelajar memahami dan sedar akan pentingnya pengetahuan dan pendidikan berkaitan HIV dan Aids. Ada antara staf yang hadir mencadangkan supaya ceramah yang sama diadakan lagi pada semester hadapan kerana ianya amat berguna dan relevan dalam suasana pergaulan muda mudi sekarang. InsyaAllah, BSMM Chapter UiTM Terengganu akan mempertimbangkannya.

"Prevention is better than cure"

Selasa, Oktober 14, 2008

Malam Anugerah Kecemerlangan HEP

Semalam (13 Oktober 2008) telah berlangsung Malam Anugerah Kecemerlangan HEP yang telah diadakan di Dewan Aspirasi UiTM Terengganu. Majlis ini adalah untuk mengenang jasa dan pengiktirafan kepada Persatuan yang aktif dan individu-individu yang berjasa dan telah mengharumkan nama UiTM.

Majlis telah dirasmikan oleh Prof Madya Dr. Rosmin bin Talib, Pengarah Pembangunan Pelajar dari UiTM Malaysia, Shah Alam.











Di Majlis ini dan dibulan Syawal yang mulia ini, PBSM telah berjaya memenangi dua Anugerah:
1. Anugerah Persatuan Terbaik (Kategori Khidmat Masyarakat)
2. Anugerah Penasihat Cemerlang (Kedua).

Warga BSMM Chapter UiTM Terengganu merasa amat gembira dan merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas penghargaan yang diberikan. InsyaAllah, Persatuan Bulan Sabit Merah Kampus ini akan sentiasa mencuba mengharumkan lagi nama UiTM dengan kegiatan Khidmat Masyarakat yang disumbangkan.

"Kejayaan Demi Kejayaan"

Kempen Derma Darah Kampus Cendering

BSMM Chapter UiTM Terengganu telah melebarkan Kempen Derma Darah kali ini dengan memasukkan Kampus Cendering sebagai lokasi terbarunya. 











Pada 12 Oktober 2008, Kampus Cendering telah mengadakan Kempen Derma Darah yang pertama dan telah berjaya memperolehi 94 pints. Kempen Derma Darah ini juga adalah lanjutan dari Kempen Derma Darah Pra-Ramadhan yang diadakan di Dataran Sura menjelang Ramadhan yang mulia.

Tahniah diucapkan kepada warga Kampus Cendering yang telah berjaya menganjurkan Kempen ini. Semoga kegiatan ini akan diteruskan pada semester akan datang dan dijadikan aktiviti tetap setiap semester.

"Berbakti ketika Sihat"

Jumaat, Oktober 10, 2008

Majlis Pelancaran Countdown FEI-WEC 2008 dan Majlis Hari Raya

Pada 9 Oktober 2008, seramai 30 orang ahli PBS dari Chapter BSMM UiTM Terengganu telah menghadiri Majlis Pelancaran Countdown FEI-WEC 2008 yang diadakan di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu. Kehadiran kita adalah di atas jemputan dari Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu. Majlis telah di rasmikan oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana menteri Malaysia.

Kumpulan PBS ini diiringi oleh empat pegawai:
1. Encik Mohamad Tajul Hasnan bin Mohd Tajuddin. (S/U Kehormat BSMM UiTM Terengganu)
2. Puan Salmiah (Penguasa Jururawat BSMM UiTM Terengganu)
3. Dr. Yusri bin Salleh (Penolong Pengarah Latihan BSMM Cawangan Terengganu)
4. Encik Mohd Ishak Badarudin (Penolong Pengarah PBS BSMM Cawangan Terengganu)

Di antara aturcara menarik adalah perarakan pelbagai jenis kereta kuda, perarakan 36 buah kenderaan pacuan empat roda mewakili 36 buah negara, demonstrasi berkuda oleh pers. Ekuin Negeri Terengganu dan pertunjukan berkuda oleh RTES.

"Persediaan bagi acara berkuda antarabangsa"

Selasa, September 23, 2008

Pakar Solekan 'INJURY'

Hari ini (23 September 2008) Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Dungun dan beberapa agensi lain seperti PDRM dan pihakHospital Daerah Dungun telah mengadakan satu latihan besar-besaran iaitu Latihan penyelamatan semasa berlaku kemalangan jalanraya di batu 7 jalan Dungun-Paka.












(Gambar di atas menunjukkan para pelakon yang terdiri dari anggota pasukan bomba dan penyelamat sedang disolek oleh ahli PBS BSMM Chapter UiTM Terengganu di perkarangan bangunan iLQaM)


Dalam kemalangan ini, sebuah lori telah berlanggar dengan dua buah kereta, dan ia mengakibatkan dua kematian dan 4 orang cedera parah. Ia telah mengakibatkan juga berlaku kesesakan lalu lintas dan pesakit telah dikejarkan ke hospital berhampiran.

Latihan ini amat penting kepada agensi-agensi terlibat bagi mempastikan jika berlaku tragedi yang sedemikian, agensi-agensi ini akan sentiasa bersedia dan bergerak pantas untuk memberi bantuan.











(Gambar di atas menunjukkan senario kejadian perlanggaran yang dahsyat)


Penglibatan BSMM Chapter UiTM Terengganu dalam latihan ini adalah menyediakan solekan kepada pelakon-pelakon. Memastikan suasana tragedi adalah realistik dan menggerunkan, dan menyedarkan pengguna jalanraya supaya berhati-hati di jalanraya.

BSMM Chapter UiTM Terengganu amat berterima kasih kepada pasukan Bomba dan Penyelamat kerana memberi kepercayaan kepada anggota PBS UiTM untuk tugas solekan ini. Kami sentiasa bersedia untuk menyumbangkan tenaga untuk khidmat mulia kepada masyarakat.

Mereka yang terlibat:
1. Mohd Abdul Bashir bin Zakaria (Jurusolek) Sem3
2. Hamizah bt Hamzah (Jurusolek) Sem3
3. Nursufee bt. Khir (Jurusolek) Sem1
4. Afifah bt Ramli (Jurusolek) Sem1
5. Nurul Lailah bt Osman (Jurusolek) Sem2
6. Nini Hartinie bt. Ab Halim (Jurusolek) Sem2
7. Mohd Firdaus bin Mat Yusof (Jurusolek) Sem2
8. Norazwa binti Sharif (Jurusolek) Sem3
8. Rahaimie (Jurugambar) Staf APB
9. Encik Roslay bin Mohamad (Penasihat Medic)


"We are always ready"

Sabtu, Ogos 30, 2008

Perkhemahan

Hari ini (30 Ogos 2008) adalah hari terakhir perkhemahan BSMM Chapter UiTM Terengganu. Ia telah diadakah di Taman Rekreasi Jambu Bongkok, Rantau Abang sejak Khamis. Seramai 41 orang ahli (majoritinya pelajar part 3 diketuai Lukmanul Hakim) telah terlibat dan diselia oleh Encik Tajul Hasnan (Setiausaha kehormat), Puan Salmiah (Jururawat) dan Encik Ruslan Mohamad.















Pelajar dilatih cara-cara membuat "make-up" injury dan kemudian berlakon 'cara merawat ketika berlaku bencana". Pelajar juga memasak sendiri makanan ala bencana (terima kasih kepada pelajar Bachelor, Basir dan Norhamizah).












Aktiviti tambahan yang dimasukkan adalah cara-cara memadam api yang ditunjukkan oleh pegawai-pegawai bomba Daerah Dungun (terima kasih kepada Encik Aziz).












Hari ini pelajar telah diuji ketahanan mereka untuk bekerja dalam pasukan dengan aktiviti treking ke Bukit Penyu, Rantau Abang. Sukanya mereka apabila sampai ke puncak dan dapat bergambar beramai-ramai di situ. Pemandangan juga agak menarik, kerana dari puncak Bukit Penyu kita dapat melihat keindahan Laut China Selatan. Walaupun letih, hati merasa puas.

Lain kali ke Pulau Pula...!